Memaparkan catatan dengan label Projek Pembangunan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Projek Pembangunan. Papar semua catatan

Selasa, 19 Januari 2010

Wakaf Simen dan Pasir Dibuka....Rebut Peluang Sebelum Terlambat


Pandangan kawasan sawah padi yang mendamaikan dari tingkat empat bangunan STAIL-SMART. Berada di atas tingkat empat sudah membayangkan bahawa pelajar dan guru serta warga STAIL-SMART nanti akan tenang serta tenteram berada di sini.

Sebelum kami mulakan makluman terkini tentang perkembangan projek pembangunan STAIl-SMART, kami memohon kemaafan kerana hampir tiga bulan maklumat tentang projek ini tidak dikemas kini. Insya Allah, tulisan ini akan memaklumkan beberapa perkara tentang projek yang sedang berjalan sejak April 2009 sehingga kini tanpa henti biar pun dana yang agak perlahan.

Ketika tulisan ini ditulis, bumbung yang berwarna hijau sudah hampir siap. Hanya tinggal tiga peratus sahaja. Insya Allah menjelang petang ini, bumbung akan siap sepenuhnya. Sementara itu, proses pembinaan dinding secara keseluruhannya juga hampir siap. Kini proses membuat simen ke atas dinding sedang giat dijalankan. Bagi mempercepatkan kerja penyimenan dinding ini siap kami telah membuka peluang kepada semua muslimin dan muslimat untuk mewakafkan simen dan pasir kepada pihak sekolah. Harga wakaf sekampit simen ialah RM15 sahaja. Sementara satu ela pasir pula bernilai RM45 sahaja. Kos harga ini adalah nilai barangan tersebut dan kos pengurusannya.

Oleh itu, kami menyeru semua muslimin dan muslimat ayuhlah bantu kami merealisasikan bangunan ini dengan kadar segera. Masukkan sumbangan anda ke dalam akaun Bank Islam 07043011010032. Sumbangan anda amat kami perlukan. Jika anda memerlukan maklumat lanjut, sila hubungi 04 5732522 bercakap dengan En Mohd Syarifuddin atau Ustaz Ahmad Fahmi di talian 013 4881601.

Untuk makluman juga, pihak sekolah telah menerima berita gembira apabila kelulusan daripada setiap jabatan telah diperoleh sebulan yang lalu. Kini hanya menantikan kelulusan daripada Majlis Perbandaran Seberang perai sahaja. Marilah sama-sama kita berdoa agar proses ini tidak memakan masa yang begitu lama. Pihak sekolah amat berharap projek ini akan siap sebelum April 2010. Jika tiada aral melintang, insya Allah bangunan ini akan diduduki pada Jun 2010 dan perasmian serta majlis meraikan STAIL 10 tahun di bumi Allah ini akan disambut pada bulan Oktober.

Sumbangan kita adalah Untukmu Islam Yang Kucintai.

Selasa, 6 Oktober 2009

25 000 Bata Telah Diwakafkan

Sehingga hari ini, sebanyak 25 000 bata telah diwakafkan oleh orang ramai kepada STIL-SMART. Sebanyak 75 000 bata lagi masih diperlukan. Sementara simen pula masih belum diwakafkan lagi oleh orang ramai. Justeru itu, kami merayu kepada semua muslimin dan muslimat agar dapat segera membeli dan mewakafkan bata serta simen. Seperti yang dinyatakan dalam tulisan sebelum ini, kami amat memerlukan sebanyak 100 000 bata dan 2000 kampit simen. Jumlah kesemua bata dan simen itu akan membolehkan keseluruhan dinding bangunan empat tingkat ini disiapkan dengan sempurna.

Harga bagi 500 bata hanyalah RM100. Manakala bagi simen pula ialah RM100 bagi lima kampit. Besarlah harapan kami agar semua yang membaca ini boleh menyumbang wang anda. Insya Allah anda akan mendapat keuntungan yang berlipat ganda daripada Allah.

Bagi yang ingin memberi sumbangan silalah berhubung terus dengan pihak sekolah di talian yang terdapat di dalam blog ini. Anda juga boleh terus menghubungi Mudir Am, Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar.

Isnin, 28 September 2009

100 000 Bata Dan 2000 Kampit Simen Diperlukan







Projek pembangunan STAIL-SMART kini sedang rancak dibina. Alhamdulillah kerja-kerja pembinaan kini memasuki fasa membuat dinding yang telah bermula sejak minggu lepas. Bagi memastikan dinding bangunan boleh dibina terus, pihak kami memerlukan 100 000 bata dan 2000 kampit simen. Kos bagi pembelian sebanyak 100 000 bata ini ialah sebanyak RM20 000. Sementara kos bagi mendapatkan 2000 kampit simen pula ialah sebanyak RM40 000. Jumlah keseluruhan bagi membolehkan dinding bangunan empat tingkat ini dibina ialah RM60 000.

Bagi mendapatkan wang sebanyak RM60 000 ini, kami membuka peluang kepada anda untuk membuat wakaf bata dan simen. Anda boleh membantu pihak sekolah dengan cara berikut:

a) mewakafkan bata sebanyak 500 biji dengan kos RM100.
b) mewakafkan simen sebanyak lima kampit dengan kos RM100.

Anda boleh menyumbang dari segi kewangan dan pihak kami akan menguruskan pembelian bahan-bahan tersebut. Sekiranya anda ingin menghantar terus bahan tersebut ke tapak pembinaan turut dialu-alukan namun anda perlu memberitahu pihak kami terlebih dahulu. Tempoh pembinaan dinding ini ialah dua bulan. Oleh itu kepada yang berminat ingin menyumbang boleh menghubungi Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar di talian 013 4881601.

Kami amat berharap anda dapat terus membantu kami merealisasikan bangunan ini selewat-lewatnya Mac 2010.

Rabu, 9 September 2009

RM1.5 Juta Diperlukan Lagi

Sekolah Tahfiz Al Islah dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz (STAIL-SMART) masih memerlukan RM1.5 juta bagi menyiapkan projek pembangunan kompleks baru. Sehingga kini, sudah RM1 juta dibelanjakan bermula daripada pembelian tanah yang bernilai RM261 360 lima tahun yang lalu. Sementara kerja-kerja penanaman cerucuk pula menelan belanja sebanyak RM276 059 dan kerja-kerja pembinaan dasar bangunan pula memakan kos sekitar RM300 000. Baki sebanyak sekitar RM200 000 digunakan untuk promosi, pembayaran khidmat guaman, sukat tanah, pembinaan sementara SMART sesi 2008, khidmat arkitek dan jurutera. Jumlah sebenar keseluruhan perbelanjaan sehingga kini ialah sebanyak RM1.03 juta. Semua pendapatan ini adalah bersumber daripada pembelian wakaf, pembayaran zakat dan sumbangan masyarakat.

Kerja-kerja pembinaan secara rasminya bermula bulan Disember 2008 yang lepas. Proses pembinaan dimulakan dengan penanaman cerucuk dan berakhir pada penghujung bulan yang sama. Selepas itu kerja pembinaan terhenti selama tiga bulan kerana dana tidak mencukupi. Kerja pembinaan disambung semula pada bulan April 2009 dengan pembinaan dasar bangunan dan berterusan hingga kini. Kini kerja pembinaan telah masuk fasa pembinaan lantai aras tiga.

Menurut Ustaz Ahmad Fahmi, Mudir Am STAIL-SMART, “Jika tiada halangan dan dana mencukupi, bangunan ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2010.” Oleh itu, pihak sekolah amat berharap muslimin dan muslimat terus memberikan sumbangan kewangan agar kerja-kerja pembinaan ini akan siap seperti yang dijadualkan. Pihak sekolah mengharapkan projek pembinaan ini tidak terhenti lagi kerana kekurangan dana. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, amatlah sesuai kepada muslimin dan muslimat memberikan sumbangan. Kepada yang ingin menyumbang dialu-alukan menghubungi pihak sekolah di talian 04 5732622 atau datang terus ke pejabat STAIL di Kg Tok Bedu, Tasek Gelugor.

Jumaat, 8 Mei 2009

Individu Bayar Zakat RM1.2 Juta


Tarikh 20 April 2009 adalah detik yang amat bersejarah bagi Pusat Pendidikan STAIL-SMART kerana seorang hamba Allah bernama En Ismail b Muhamad telah membayar zakat pendapatannya berjumlah RM1.2 juta kepada pihak sekolah. Beliau telah datang bersama setiausahanya diiringi Ustaz Abd Ghani yang telah menyarankan kepada Ismail untuk membayar zakat kepada pihak sekolah.

En Ismail bersetuju membayar zakatnya kepada Pusat Pendidikan STAIL-SMART kerana ingin membantu pihak sekolah membina bangunan yang dalam proses pembinaan sekarang. Beliau amat berharap agar projek pembinaan ini akan dapat disiapkan dengan segera agar murid-murid dapat belajar dalam suasana yang lebih kondisif. Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar selaku Mudir Am Pusat Pendidikan STAIL-SMART telah menerima bayaran zakat tersebut. Turut sama dalam majlis tersebut ialah Dr Abd Hadi b Abd Rahman, Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah (JPS) Pusat Pndidikan STAIL-SMART dan Bendahari JPS iaitu Tuan Haji Ibrahim b Hasan.

Ustaz Ahmad Fahmi telah membawa En Ismail melawat ke tapak projek bagi melihat sendiri proses pembinaan yang sedang berjalan. Sebaik selesai semua urusan, Ustaz Ahmad Fahmi telah membawa cek RM1.2 juta itu terus ke Majlis Agama Islam Perlis bagi diserahkan kepada pihak zakat Perlis yang akan memulangkan RM600 000 kepada pihak sekolah. Semoga dengan bayaran zakat yang terbesar pernah diterima pihak sekolah ini akan merancakkan lagi pembinaan ini.

Ahad, 3 Mei 2009

Projek Pembangunan Bersambung

Setelah terhenti lebih kurang tiga bulan, Projek Pembangunan STAIL-SMART telah bersambung semula awal April yang lepas. Projek bersambung semula dengan pembinaan dasar bangunan setelah kerja-kerja penanaman cerucuk selesai hujung Disember yang lalu.

Projek pembinaan ini terhenti selama tiga bulan adalah kerana dana yang tidak mencukupi setelah wang sebanyak RM2300 000 digunakan bagi kerja-kerja penanaman cerucuk. Anggaran kos bagi kerja-kerja pembinaan dasar bangunan ini lebih kurang RM200 000. Kos keseluruhan projek adalah sebanyak RM2 juta. Hampir RM500 000 telah digunakan setakat ini bagi kerja-kerja penanaman cerucuk dan pembinaan dasar bangunan. Oleh itu pihak kami masih memerlukan dana sebanyak RM1.5 juta bagi merealisasikan pembinaan bangunan ini.

Kami merayu dan menyeru kepada seluruh muslimin dan muslimat agar terus memberikan sumbangan kewangan anda kepada kami bagi tujuan pembangunan ini. Kami amat mengharapkan agar bangunan ini dapat disiapkan penghujung tahun ini (2009) bagi membolehkan ia digunakan pada sesi pengajian tahun hadapan. Bersamalah membantu kami membantu Pendidikan Islam di Pulau Pinang khasnya dan di Malaysia amnya.