Isnin, 28 September 2009

100 000 Bata Dan 2000 Kampit Simen Diperlukan







Projek pembangunan STAIL-SMART kini sedang rancak dibina. Alhamdulillah kerja-kerja pembinaan kini memasuki fasa membuat dinding yang telah bermula sejak minggu lepas. Bagi memastikan dinding bangunan boleh dibina terus, pihak kami memerlukan 100 000 bata dan 2000 kampit simen. Kos bagi pembelian sebanyak 100 000 bata ini ialah sebanyak RM20 000. Sementara kos bagi mendapatkan 2000 kampit simen pula ialah sebanyak RM40 000. Jumlah keseluruhan bagi membolehkan dinding bangunan empat tingkat ini dibina ialah RM60 000.

Bagi mendapatkan wang sebanyak RM60 000 ini, kami membuka peluang kepada anda untuk membuat wakaf bata dan simen. Anda boleh membantu pihak sekolah dengan cara berikut:

a) mewakafkan bata sebanyak 500 biji dengan kos RM100.
b) mewakafkan simen sebanyak lima kampit dengan kos RM100.

Anda boleh menyumbang dari segi kewangan dan pihak kami akan menguruskan pembelian bahan-bahan tersebut. Sekiranya anda ingin menghantar terus bahan tersebut ke tapak pembinaan turut dialu-alukan namun anda perlu memberitahu pihak kami terlebih dahulu. Tempoh pembinaan dinding ini ialah dua bulan. Oleh itu kepada yang berminat ingin menyumbang boleh menghubungi Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar di talian 013 4881601.

Kami amat berharap anda dapat terus membantu kami merealisasikan bangunan ini selewat-lewatnya Mac 2010.

Rabu, 16 September 2009

Motivasi Iman: Terjual Melebihi 1100 Naskhah


Alhamdulillah, buku Motivasi Iman tulisan Abu Farwah atau Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar telah dijual melebihi 1100 naskhah hanya dalam tempoh tiga minggu. Buku yang mula dijual pada 1 Ramadhan bersamaan dengan 22 Ogos yang lalu ini mendapat sambutan hangat di majlis-majlis kuliah, tazkirah dan ceramah. Kebanyakannya dijual oleh penulis sendiri di samping kakitangan-kakitangan sekolah.

Cetakan kedua buku ini berjumlah 1000 naskhah telah dicetak dan sedia dijual. Cetakan kedua telah dikemas kini. Beberapa pembetulan dari segi kesalahan ejaan telah dibetulkan.

Insya Allah, selepas Ramadhan buku ini akan berada di kedai-kedai buku sekitar Seberang Perai sebelum cuba diluaskan ke seluruh kedai-kedai buku di Pulau Pinang. Diharapkan dengan penjualan di banyak kedai buku akan meningkatkan jumlah penjualan yang seterusnya akan meningkatkan sumbangan ke tabung pembinaan projek pembangunan STAIL-SMART yang kini dalam proses pembinaan.

Atas permintaan ramai buku ini turut akan dijual secara online. Oleh itu, sesiapa yang berminat mendapatkannya sila berhubung terus dengan Budiyanto b Unggun di talian 019 5235592 bagi memesan tempahan. Caj pos akan dikenakan bagi setiap pesanan. Duit boleh dimasukkan ke dalam akaun Maybank: 557447202487 atas nama Koperasi Warga Sekolah Tahfiz Al Islah Berhad.

Motivasi Iman diterbitkan oleh Koperasi Warga Sekolah Tahfiz Al Islah Tasek Gelugor Berhad yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Ini merupakan projek pertama penerbitan Koperasi Warga STAIL. Insya Allah penerbitan kedua akan menjengah pasaran Disember 2009 atau Januari 2010. Doakan agar usaha kami ini dalam menyebarkan ilmu Allah Taala ini dipermudahkan Allah.

Rabu, 9 September 2009

RM1.5 Juta Diperlukan Lagi

Sekolah Tahfiz Al Islah dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz (STAIL-SMART) masih memerlukan RM1.5 juta bagi menyiapkan projek pembangunan kompleks baru. Sehingga kini, sudah RM1 juta dibelanjakan bermula daripada pembelian tanah yang bernilai RM261 360 lima tahun yang lalu. Sementara kerja-kerja penanaman cerucuk pula menelan belanja sebanyak RM276 059 dan kerja-kerja pembinaan dasar bangunan pula memakan kos sekitar RM300 000. Baki sebanyak sekitar RM200 000 digunakan untuk promosi, pembayaran khidmat guaman, sukat tanah, pembinaan sementara SMART sesi 2008, khidmat arkitek dan jurutera. Jumlah sebenar keseluruhan perbelanjaan sehingga kini ialah sebanyak RM1.03 juta. Semua pendapatan ini adalah bersumber daripada pembelian wakaf, pembayaran zakat dan sumbangan masyarakat.

Kerja-kerja pembinaan secara rasminya bermula bulan Disember 2008 yang lepas. Proses pembinaan dimulakan dengan penanaman cerucuk dan berakhir pada penghujung bulan yang sama. Selepas itu kerja pembinaan terhenti selama tiga bulan kerana dana tidak mencukupi. Kerja pembinaan disambung semula pada bulan April 2009 dengan pembinaan dasar bangunan dan berterusan hingga kini. Kini kerja pembinaan telah masuk fasa pembinaan lantai aras tiga.

Menurut Ustaz Ahmad Fahmi, Mudir Am STAIL-SMART, “Jika tiada halangan dan dana mencukupi, bangunan ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2010.” Oleh itu, pihak sekolah amat berharap muslimin dan muslimat terus memberikan sumbangan kewangan agar kerja-kerja pembinaan ini akan siap seperti yang dijadualkan. Pihak sekolah mengharapkan projek pembinaan ini tidak terhenti lagi kerana kekurangan dana. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, amatlah sesuai kepada muslimin dan muslimat memberikan sumbangan. Kepada yang ingin menyumbang dialu-alukan menghubungi pihak sekolah di talian 04 5732622 atau datang terus ke pejabat STAIL di Kg Tok Bedu, Tasek Gelugor.