Selasa, 19 Januari 2010

Gambar-Gambar Projek




Wakaf Simen dan Pasir Dibuka....Rebut Peluang Sebelum Terlambat


Pandangan kawasan sawah padi yang mendamaikan dari tingkat empat bangunan STAIL-SMART. Berada di atas tingkat empat sudah membayangkan bahawa pelajar dan guru serta warga STAIL-SMART nanti akan tenang serta tenteram berada di sini.

Sebelum kami mulakan makluman terkini tentang perkembangan projek pembangunan STAIl-SMART, kami memohon kemaafan kerana hampir tiga bulan maklumat tentang projek ini tidak dikemas kini. Insya Allah, tulisan ini akan memaklumkan beberapa perkara tentang projek yang sedang berjalan sejak April 2009 sehingga kini tanpa henti biar pun dana yang agak perlahan.

Ketika tulisan ini ditulis, bumbung yang berwarna hijau sudah hampir siap. Hanya tinggal tiga peratus sahaja. Insya Allah menjelang petang ini, bumbung akan siap sepenuhnya. Sementara itu, proses pembinaan dinding secara keseluruhannya juga hampir siap. Kini proses membuat simen ke atas dinding sedang giat dijalankan. Bagi mempercepatkan kerja penyimenan dinding ini siap kami telah membuka peluang kepada semua muslimin dan muslimat untuk mewakafkan simen dan pasir kepada pihak sekolah. Harga wakaf sekampit simen ialah RM15 sahaja. Sementara satu ela pasir pula bernilai RM45 sahaja. Kos harga ini adalah nilai barangan tersebut dan kos pengurusannya.

Oleh itu, kami menyeru semua muslimin dan muslimat ayuhlah bantu kami merealisasikan bangunan ini dengan kadar segera. Masukkan sumbangan anda ke dalam akaun Bank Islam 07043011010032. Sumbangan anda amat kami perlukan. Jika anda memerlukan maklumat lanjut, sila hubungi 04 5732522 bercakap dengan En Mohd Syarifuddin atau Ustaz Ahmad Fahmi di talian 013 4881601.

Untuk makluman juga, pihak sekolah telah menerima berita gembira apabila kelulusan daripada setiap jabatan telah diperoleh sebulan yang lalu. Kini hanya menantikan kelulusan daripada Majlis Perbandaran Seberang perai sahaja. Marilah sama-sama kita berdoa agar proses ini tidak memakan masa yang begitu lama. Pihak sekolah amat berharap projek ini akan siap sebelum April 2010. Jika tiada aral melintang, insya Allah bangunan ini akan diduduki pada Jun 2010 dan perasmian serta majlis meraikan STAIL 10 tahun di bumi Allah ini akan disambut pada bulan Oktober.

Sumbangan kita adalah Untukmu Islam Yang Kucintai.

Isnin, 26 Oktober 2009

Perlukan 50 000 Bata Lagi





Sejak dilancarkan wakaf bata dan simen tiga minggu lalu, pihak sekolah telah menerima sumbangan wakaf bata sebanyak 50 000 bata. Ini bermakna sebanyak 50 000 bata lagi diperlukan bagi melengkapkan keseluruhan dinding bangunan empat tingkat ini. Kami menyeru dan merayu kepada semua muslimin dan muslimat untuk terus menyumbang agar cita-cita dan impian kami keseluruhan warga sekolah untuk melihat bangunan ini siap sepenuhnya menjelang Mac 2010. Semoga sumbangan anda semua akan mendapat ganjaran setimpal daripada Ilahi.

Selasa, 6 Oktober 2009

25 000 Bata Telah Diwakafkan

Sehingga hari ini, sebanyak 25 000 bata telah diwakafkan oleh orang ramai kepada STIL-SMART. Sebanyak 75 000 bata lagi masih diperlukan. Sementara simen pula masih belum diwakafkan lagi oleh orang ramai. Justeru itu, kami merayu kepada semua muslimin dan muslimat agar dapat segera membeli dan mewakafkan bata serta simen. Seperti yang dinyatakan dalam tulisan sebelum ini, kami amat memerlukan sebanyak 100 000 bata dan 2000 kampit simen. Jumlah kesemua bata dan simen itu akan membolehkan keseluruhan dinding bangunan empat tingkat ini disiapkan dengan sempurna.

Harga bagi 500 bata hanyalah RM100. Manakala bagi simen pula ialah RM100 bagi lima kampit. Besarlah harapan kami agar semua yang membaca ini boleh menyumbang wang anda. Insya Allah anda akan mendapat keuntungan yang berlipat ganda daripada Allah.

Bagi yang ingin memberi sumbangan silalah berhubung terus dengan pihak sekolah di talian yang terdapat di dalam blog ini. Anda juga boleh terus menghubungi Mudir Am, Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar.

Isnin, 28 September 2009

100 000 Bata Dan 2000 Kampit Simen Diperlukan







Projek pembangunan STAIL-SMART kini sedang rancak dibina. Alhamdulillah kerja-kerja pembinaan kini memasuki fasa membuat dinding yang telah bermula sejak minggu lepas. Bagi memastikan dinding bangunan boleh dibina terus, pihak kami memerlukan 100 000 bata dan 2000 kampit simen. Kos bagi pembelian sebanyak 100 000 bata ini ialah sebanyak RM20 000. Sementara kos bagi mendapatkan 2000 kampit simen pula ialah sebanyak RM40 000. Jumlah keseluruhan bagi membolehkan dinding bangunan empat tingkat ini dibina ialah RM60 000.

Bagi mendapatkan wang sebanyak RM60 000 ini, kami membuka peluang kepada anda untuk membuat wakaf bata dan simen. Anda boleh membantu pihak sekolah dengan cara berikut:

a) mewakafkan bata sebanyak 500 biji dengan kos RM100.
b) mewakafkan simen sebanyak lima kampit dengan kos RM100.

Anda boleh menyumbang dari segi kewangan dan pihak kami akan menguruskan pembelian bahan-bahan tersebut. Sekiranya anda ingin menghantar terus bahan tersebut ke tapak pembinaan turut dialu-alukan namun anda perlu memberitahu pihak kami terlebih dahulu. Tempoh pembinaan dinding ini ialah dua bulan. Oleh itu kepada yang berminat ingin menyumbang boleh menghubungi Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar di talian 013 4881601.

Kami amat berharap anda dapat terus membantu kami merealisasikan bangunan ini selewat-lewatnya Mac 2010.

Rabu, 16 September 2009

Motivasi Iman: Terjual Melebihi 1100 Naskhah


Alhamdulillah, buku Motivasi Iman tulisan Abu Farwah atau Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar telah dijual melebihi 1100 naskhah hanya dalam tempoh tiga minggu. Buku yang mula dijual pada 1 Ramadhan bersamaan dengan 22 Ogos yang lalu ini mendapat sambutan hangat di majlis-majlis kuliah, tazkirah dan ceramah. Kebanyakannya dijual oleh penulis sendiri di samping kakitangan-kakitangan sekolah.

Cetakan kedua buku ini berjumlah 1000 naskhah telah dicetak dan sedia dijual. Cetakan kedua telah dikemas kini. Beberapa pembetulan dari segi kesalahan ejaan telah dibetulkan.

Insya Allah, selepas Ramadhan buku ini akan berada di kedai-kedai buku sekitar Seberang Perai sebelum cuba diluaskan ke seluruh kedai-kedai buku di Pulau Pinang. Diharapkan dengan penjualan di banyak kedai buku akan meningkatkan jumlah penjualan yang seterusnya akan meningkatkan sumbangan ke tabung pembinaan projek pembangunan STAIL-SMART yang kini dalam proses pembinaan.

Atas permintaan ramai buku ini turut akan dijual secara online. Oleh itu, sesiapa yang berminat mendapatkannya sila berhubung terus dengan Budiyanto b Unggun di talian 019 5235592 bagi memesan tempahan. Caj pos akan dikenakan bagi setiap pesanan. Duit boleh dimasukkan ke dalam akaun Maybank: 557447202487 atas nama Koperasi Warga Sekolah Tahfiz Al Islah Berhad.

Motivasi Iman diterbitkan oleh Koperasi Warga Sekolah Tahfiz Al Islah Tasek Gelugor Berhad yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Ini merupakan projek pertama penerbitan Koperasi Warga STAIL. Insya Allah penerbitan kedua akan menjengah pasaran Disember 2009 atau Januari 2010. Doakan agar usaha kami ini dalam menyebarkan ilmu Allah Taala ini dipermudahkan Allah.

Rabu, 9 September 2009

RM1.5 Juta Diperlukan Lagi

Sekolah Tahfiz Al Islah dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz (STAIL-SMART) masih memerlukan RM1.5 juta bagi menyiapkan projek pembangunan kompleks baru. Sehingga kini, sudah RM1 juta dibelanjakan bermula daripada pembelian tanah yang bernilai RM261 360 lima tahun yang lalu. Sementara kerja-kerja penanaman cerucuk pula menelan belanja sebanyak RM276 059 dan kerja-kerja pembinaan dasar bangunan pula memakan kos sekitar RM300 000. Baki sebanyak sekitar RM200 000 digunakan untuk promosi, pembayaran khidmat guaman, sukat tanah, pembinaan sementara SMART sesi 2008, khidmat arkitek dan jurutera. Jumlah sebenar keseluruhan perbelanjaan sehingga kini ialah sebanyak RM1.03 juta. Semua pendapatan ini adalah bersumber daripada pembelian wakaf, pembayaran zakat dan sumbangan masyarakat.

Kerja-kerja pembinaan secara rasminya bermula bulan Disember 2008 yang lepas. Proses pembinaan dimulakan dengan penanaman cerucuk dan berakhir pada penghujung bulan yang sama. Selepas itu kerja pembinaan terhenti selama tiga bulan kerana dana tidak mencukupi. Kerja pembinaan disambung semula pada bulan April 2009 dengan pembinaan dasar bangunan dan berterusan hingga kini. Kini kerja pembinaan telah masuk fasa pembinaan lantai aras tiga.

Menurut Ustaz Ahmad Fahmi, Mudir Am STAIL-SMART, “Jika tiada halangan dan dana mencukupi, bangunan ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2010.” Oleh itu, pihak sekolah amat berharap muslimin dan muslimat terus memberikan sumbangan kewangan agar kerja-kerja pembinaan ini akan siap seperti yang dijadualkan. Pihak sekolah mengharapkan projek pembinaan ini tidak terhenti lagi kerana kekurangan dana. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, amatlah sesuai kepada muslimin dan muslimat memberikan sumbangan. Kepada yang ingin menyumbang dialu-alukan menghubungi pihak sekolah di talian 04 5732622 atau datang terus ke pejabat STAIL di Kg Tok Bedu, Tasek Gelugor.