Isnin, 26 Oktober 2009

Perlukan 50 000 Bata Lagi





Sejak dilancarkan wakaf bata dan simen tiga minggu lalu, pihak sekolah telah menerima sumbangan wakaf bata sebanyak 50 000 bata. Ini bermakna sebanyak 50 000 bata lagi diperlukan bagi melengkapkan keseluruhan dinding bangunan empat tingkat ini. Kami menyeru dan merayu kepada semua muslimin dan muslimat untuk terus menyumbang agar cita-cita dan impian kami keseluruhan warga sekolah untuk melihat bangunan ini siap sepenuhnya menjelang Mac 2010. Semoga sumbangan anda semua akan mendapat ganjaran setimpal daripada Ilahi.

Selasa, 6 Oktober 2009

25 000 Bata Telah Diwakafkan

Sehingga hari ini, sebanyak 25 000 bata telah diwakafkan oleh orang ramai kepada STIL-SMART. Sebanyak 75 000 bata lagi masih diperlukan. Sementara simen pula masih belum diwakafkan lagi oleh orang ramai. Justeru itu, kami merayu kepada semua muslimin dan muslimat agar dapat segera membeli dan mewakafkan bata serta simen. Seperti yang dinyatakan dalam tulisan sebelum ini, kami amat memerlukan sebanyak 100 000 bata dan 2000 kampit simen. Jumlah kesemua bata dan simen itu akan membolehkan keseluruhan dinding bangunan empat tingkat ini disiapkan dengan sempurna.

Harga bagi 500 bata hanyalah RM100. Manakala bagi simen pula ialah RM100 bagi lima kampit. Besarlah harapan kami agar semua yang membaca ini boleh menyumbang wang anda. Insya Allah anda akan mendapat keuntungan yang berlipat ganda daripada Allah.

Bagi yang ingin memberi sumbangan silalah berhubung terus dengan pihak sekolah di talian yang terdapat di dalam blog ini. Anda juga boleh terus menghubungi Mudir Am, Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar.

Isnin, 28 September 2009

100 000 Bata Dan 2000 Kampit Simen Diperlukan







Projek pembangunan STAIL-SMART kini sedang rancak dibina. Alhamdulillah kerja-kerja pembinaan kini memasuki fasa membuat dinding yang telah bermula sejak minggu lepas. Bagi memastikan dinding bangunan boleh dibina terus, pihak kami memerlukan 100 000 bata dan 2000 kampit simen. Kos bagi pembelian sebanyak 100 000 bata ini ialah sebanyak RM20 000. Sementara kos bagi mendapatkan 2000 kampit simen pula ialah sebanyak RM40 000. Jumlah keseluruhan bagi membolehkan dinding bangunan empat tingkat ini dibina ialah RM60 000.

Bagi mendapatkan wang sebanyak RM60 000 ini, kami membuka peluang kepada anda untuk membuat wakaf bata dan simen. Anda boleh membantu pihak sekolah dengan cara berikut:

a) mewakafkan bata sebanyak 500 biji dengan kos RM100.
b) mewakafkan simen sebanyak lima kampit dengan kos RM100.

Anda boleh menyumbang dari segi kewangan dan pihak kami akan menguruskan pembelian bahan-bahan tersebut. Sekiranya anda ingin menghantar terus bahan tersebut ke tapak pembinaan turut dialu-alukan namun anda perlu memberitahu pihak kami terlebih dahulu. Tempoh pembinaan dinding ini ialah dua bulan. Oleh itu kepada yang berminat ingin menyumbang boleh menghubungi Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar di talian 013 4881601.

Kami amat berharap anda dapat terus membantu kami merealisasikan bangunan ini selewat-lewatnya Mac 2010.

Rabu, 16 September 2009

Motivasi Iman: Terjual Melebihi 1100 Naskhah


Alhamdulillah, buku Motivasi Iman tulisan Abu Farwah atau Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar telah dijual melebihi 1100 naskhah hanya dalam tempoh tiga minggu. Buku yang mula dijual pada 1 Ramadhan bersamaan dengan 22 Ogos yang lalu ini mendapat sambutan hangat di majlis-majlis kuliah, tazkirah dan ceramah. Kebanyakannya dijual oleh penulis sendiri di samping kakitangan-kakitangan sekolah.

Cetakan kedua buku ini berjumlah 1000 naskhah telah dicetak dan sedia dijual. Cetakan kedua telah dikemas kini. Beberapa pembetulan dari segi kesalahan ejaan telah dibetulkan.

Insya Allah, selepas Ramadhan buku ini akan berada di kedai-kedai buku sekitar Seberang Perai sebelum cuba diluaskan ke seluruh kedai-kedai buku di Pulau Pinang. Diharapkan dengan penjualan di banyak kedai buku akan meningkatkan jumlah penjualan yang seterusnya akan meningkatkan sumbangan ke tabung pembinaan projek pembangunan STAIL-SMART yang kini dalam proses pembinaan.

Atas permintaan ramai buku ini turut akan dijual secara online. Oleh itu, sesiapa yang berminat mendapatkannya sila berhubung terus dengan Budiyanto b Unggun di talian 019 5235592 bagi memesan tempahan. Caj pos akan dikenakan bagi setiap pesanan. Duit boleh dimasukkan ke dalam akaun Maybank: 557447202487 atas nama Koperasi Warga Sekolah Tahfiz Al Islah Berhad.

Motivasi Iman diterbitkan oleh Koperasi Warga Sekolah Tahfiz Al Islah Tasek Gelugor Berhad yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Ini merupakan projek pertama penerbitan Koperasi Warga STAIL. Insya Allah penerbitan kedua akan menjengah pasaran Disember 2009 atau Januari 2010. Doakan agar usaha kami ini dalam menyebarkan ilmu Allah Taala ini dipermudahkan Allah.

Rabu, 9 September 2009

RM1.5 Juta Diperlukan Lagi

Sekolah Tahfiz Al Islah dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz (STAIL-SMART) masih memerlukan RM1.5 juta bagi menyiapkan projek pembangunan kompleks baru. Sehingga kini, sudah RM1 juta dibelanjakan bermula daripada pembelian tanah yang bernilai RM261 360 lima tahun yang lalu. Sementara kerja-kerja penanaman cerucuk pula menelan belanja sebanyak RM276 059 dan kerja-kerja pembinaan dasar bangunan pula memakan kos sekitar RM300 000. Baki sebanyak sekitar RM200 000 digunakan untuk promosi, pembayaran khidmat guaman, sukat tanah, pembinaan sementara SMART sesi 2008, khidmat arkitek dan jurutera. Jumlah sebenar keseluruhan perbelanjaan sehingga kini ialah sebanyak RM1.03 juta. Semua pendapatan ini adalah bersumber daripada pembelian wakaf, pembayaran zakat dan sumbangan masyarakat.

Kerja-kerja pembinaan secara rasminya bermula bulan Disember 2008 yang lepas. Proses pembinaan dimulakan dengan penanaman cerucuk dan berakhir pada penghujung bulan yang sama. Selepas itu kerja pembinaan terhenti selama tiga bulan kerana dana tidak mencukupi. Kerja pembinaan disambung semula pada bulan April 2009 dengan pembinaan dasar bangunan dan berterusan hingga kini. Kini kerja pembinaan telah masuk fasa pembinaan lantai aras tiga.

Menurut Ustaz Ahmad Fahmi, Mudir Am STAIL-SMART, “Jika tiada halangan dan dana mencukupi, bangunan ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2010.” Oleh itu, pihak sekolah amat berharap muslimin dan muslimat terus memberikan sumbangan kewangan agar kerja-kerja pembinaan ini akan siap seperti yang dijadualkan. Pihak sekolah mengharapkan projek pembinaan ini tidak terhenti lagi kerana kekurangan dana. Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, amatlah sesuai kepada muslimin dan muslimat memberikan sumbangan. Kepada yang ingin menyumbang dialu-alukan menghubungi pihak sekolah di talian 04 5732622 atau datang terus ke pejabat STAIL di Kg Tok Bedu, Tasek Gelugor.

Rabu, 19 Ogos 2009

Dapatkan Buku Motivasi Iman

Motivasi Iman adalah karya Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar yang pertama diterbitkan. Buku ini diterbitkan oleh Bahagian Penerbitan Koperasi Warga Sekolah Tahfiz Al Islah Tasek Gelugor Berhad. Insya Allah buku Motivasi Iman ini akan berada di pasaran pada 21 Ogos, Jumaat ini.

Ustaz Ahmad Fahmi atau Abu Farwah merupakan Mudir Am (setaraf Pengarah Eksekutif) Sekolah Tahfiz Al Islah (STAIL) dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz (SMART). Beliau telah mengabdikan diri kepada STAIL-SMART sejak pembukaannya pada Disember 2000. Lulusan Universiti Al Azhar, Mesir dalam bidang Usuluddin pengkhususan Tafsir ini menulis berdasarkan ilmu dan pengalaman berceramah di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Buku ini mengandungi 31 tazkirah yang merangkumi kisah sahabat, al quran dan pelbagai lagi. Keistimewaan buku ini ialah setiap tajuk atau tazkirah diberikan pengajaran di hujungnya. Buku setebal 96 muka surat ini boleh didapati dengan harga RM10 sahaja. Sebahagian daripada hasil jualan buku ini akan dimasukkan ke dalam akaun pembangunan STAIL-SMART. Sesiapa yang berminat boleh dapatkannya di STAIL di Tasek Gelugor. Buku ini juga akan dijual oleh Abu Farwah di kuliah atau ceramah beliau. Bagi yang ingin mendapatkannya secara pos, bayaran kos pos akan dikenakan bergantung kepada jumlah buku yang dipesan.

Maklumat lanjut boleh hubungi Budiyanto b Unggun 019 5235592 atau hubungi pejabat 04 5732622.

Rabu, 10 Jun 2009

Selasa, 9 Jun 2009

Kaunter Promosi STAIL-SMART Di EUB09 Capai Matlamat

Ekspo Usahawan Bumiputera 09 (EUB09) telah berakhir pada 7 Jun 2009 yang lepas. Kaunter Promosi STAIL-SMART yang berada di sana selama 10 hari bermula 29 Mei hingga hari terakhir, 7 Jun telah berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan. Antara matlamat kami menyertai EUB09 kali ini ialah untuk memperkenalkan sekolah kepada masyarakat dan menjana dana pembangunan bangunan baru yang bernilai RM2.5 juta.

Seorang pengunjung sedang mengambil gambar bahan pameran STAIL-SMART

Sepanjang tempoh berada di EUB09 ini, Kaunter STAIL-SMART telah menerima lebih daripada RM5000 sumbangan derma, zakat dan wakaf. Di samping itu juga, jumlah jualan agak memuaskan. Antara produk yang dijual ialah baju lelaki, baju labuh muslimah, sabun susu kambing, air zam zam, stiker kereta dan syampu kereta. Semoga sumbangan dan belian orang ramai ini dapat membantu kami membina bangunan baru dengan lebih cepat, insya Allah.

Selepas ini Kaunter Promosi STAIL-SMART akan berada di bangunan Perkeso Seberang Jaya sempena program Seminar Menangani Isu Wanita Islam (SMIWI) anjuran Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) pada 28 Jun. Kami juga akan menyertai Karnival Keusahawanan dan Kesenian Islam di Masjid Daerah Balik Pulau pada 30 Julai hingga 2 Ogos. Kepada yang ingin memberi sumbangan dan mengetahui maklumat tentang STAIL-SMART jangan lupa kunjungi kami di tempat yang dinyatakan di atas. Selain itu juga, anda boleh terus datang ke pejabat kami di Kg Tok Bedu, Tasek Gelugor.

Terima kasih kepada yang telah menyumbang. Semoga sumbangan anda diberi ganjaran oleh Allah.

Pengunjung sedang membaca maklumat STAIL-SMART

Pengunjung menderma dan melihat bahan pameran

serta jualan di Kaunter STAIL-SMART

Kaunter STAIL-SMART dikunjungi oleh

Tan Sri Mohd Isa b Abd Samad, Penanung EUB09

Kaunter Promosi STAIL-SMART

Rabu, 3 Jun 2009

Kaunter Promosi Di Ekspo Usahawan Bumiputera Malaysia 09


Ketika ini, sedang berlangsung Ekspo Usahawan Bumiputera Malaysia 09 di tapak ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang. Sekolah Tahfiz Al Islah-Sekolah Menengah Arab Tahfiz (STAIL-SMART) turut tidak ketinggalan menyertai ekspo pada kali ini. Ekspo kali ini dianggarkan disertai hampir 400 usahawan bumiputera yang menjual dan memperkenalkan pelbagai barangan keluaran mereka.

Kaunter Promosi STAIL-SMART seperti biasa akan memperkenalkan tentang sekolah kepada masyarakat. Perkara paling penting dalam promosi ini adalah bagi mendapatkan derma, sumbangan, zakat atau wakaf daripada orang ramai yang hadir untuk digunakan bagi pembinaan bangunan kekal yang sedang dalam proses pembinaan. Setelah lima hari ekspo ini berlangsung, sambutan yang diterima kaunter STAIL agak baik di mana ada individu yang memberi derma, membayar zakat dan wakaf. Di samping tu juga, jualan barang-barang tertentu turut mendapat perhatian terutamanya air zam-zam. Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan borang pendaftaran kemasukan pelajar sesi 2010 juga boleh dapatkan borang tersebut di kaunter STAIL-SMART.

Kaunter Promosi STAIL-SMART di tapak ekspo ini diketuai oleh Pegawai Projek & Pembangunan Insan STAIL-SMART, Budiyanto Unggun dan dibantu oleh tujuh orang kakitangan STAIL-SMART yang bergilir-gilir menjaga kaunter ini.

Kepada anda yang masih lagi belum berkunjung ke Ekspo Usahawan ini, segeralah berkunjung sebelum terlambat dan jangan lupa singgah di Kaunter Promosi STAIL-SMART di lot G 14. Bantu kami mencapai RM2.5 juta untuk Pendidikan Islam.

Jumaat, 8 Mei 2009

Individu Bayar Zakat RM1.2 Juta


Tarikh 20 April 2009 adalah detik yang amat bersejarah bagi Pusat Pendidikan STAIL-SMART kerana seorang hamba Allah bernama En Ismail b Muhamad telah membayar zakat pendapatannya berjumlah RM1.2 juta kepada pihak sekolah. Beliau telah datang bersama setiausahanya diiringi Ustaz Abd Ghani yang telah menyarankan kepada Ismail untuk membayar zakat kepada pihak sekolah.

En Ismail bersetuju membayar zakatnya kepada Pusat Pendidikan STAIL-SMART kerana ingin membantu pihak sekolah membina bangunan yang dalam proses pembinaan sekarang. Beliau amat berharap agar projek pembinaan ini akan dapat disiapkan dengan segera agar murid-murid dapat belajar dalam suasana yang lebih kondisif. Ustaz Ahmad Fahmi b Abu Bakar selaku Mudir Am Pusat Pendidikan STAIL-SMART telah menerima bayaran zakat tersebut. Turut sama dalam majlis tersebut ialah Dr Abd Hadi b Abd Rahman, Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah (JPS) Pusat Pndidikan STAIL-SMART dan Bendahari JPS iaitu Tuan Haji Ibrahim b Hasan.

Ustaz Ahmad Fahmi telah membawa En Ismail melawat ke tapak projek bagi melihat sendiri proses pembinaan yang sedang berjalan. Sebaik selesai semua urusan, Ustaz Ahmad Fahmi telah membawa cek RM1.2 juta itu terus ke Majlis Agama Islam Perlis bagi diserahkan kepada pihak zakat Perlis yang akan memulangkan RM600 000 kepada pihak sekolah. Semoga dengan bayaran zakat yang terbesar pernah diterima pihak sekolah ini akan merancakkan lagi pembinaan ini.

Selasa, 5 Mei 2009

Gambar-gambar Pembinaan

Berikut ialah gambar-gambar pembinaan dasar yang sedang berjalan di tapak projek STAIL-SMART.